Sebuah Cereka Online
SISWI NOR LILI



I'm just a writer with something to share. You'll find my ongoing work titled "Siswi Norlili here".

Return to Main blog


First published novel: Menyingkap Ilusi. Should you want to own a copy, please drop me an e-mail at hatikasih75@yahoo.com. The price of the book is RM21.90 per copy. I'll send the book to you personally (autographed upon request, free postage for shipment within Malaysia). If you are in Melaka, there'll be a 20% discount! *wink*.
For the time being, the book is also available at MPH bookstores. Arrangements have been made to distribute the books to Rhythm Bookstores, Times, Popular, Kinokuniya dan other retail outlets.





   

<< December 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Thursday, August 18, 2005
SATU

SATU

 

            Macam tak percaya rasanya. Universiti Penyelidikan Kebangsaan, megah saja bunyinya. Dan aku, salah sorang siswa di situ! Mak dan abah dah balik setengah jam lepas. Terasa sedih pula aku, yalah, aku bukannya pernah tinggal di asrama. Lagipun, aku bukannya kenal sesiapa di sini. Orang lain nampak seperti orang kaya-kaya, segan pula aku nak tegur.

Mak nampak penat, terpaksa berdiri lama-lama, tunggu aku selesaikan proses pendafataran. Lepas tu, diaorang ikut aku ke asrama, tolong aku kemaskan barang. Lepas makan, aku ditinggalkan sendirian.

Boleh tahan juga asrama ni, semuanya nampak baru. Ada sambungan Internet pula tu! Hujung minggu nanti bolehlah minta abang Zakri hantarkan komputer. Katil bujang, almari baju bercermin, meja tulis dan rak buku, semuanya serba tiga.

Meja tulis memisahkan setiap katil, dengan sebuah rak buku tergantung di atasnya. Di hujung katil, almari baju tertegak kaku. Aku pilih katil yang paling dekat dengan tingkap.

Agaknya ada lagi dua orang siswa yang akan tinggal dengan aku. Harapnya diaorang tak banyak kerenah.

            Apa aku nak buat malam ini ya?

Seram sejuk pula rasanya apabila tinggal sorang-sorang begini. Tambah pula, terpaksa melihat dua buah katil yang masih kosong dan tilamnya bersarungkan kain putih. Macam kat hospital! Isk...!!

Selalu juga aku dengar di universiti biasanya ada “makhluk” yang tidak nampak di mata kasar. Ada kisah teman sebilik yang tangannya memanjang ke suis lampu di dindinglah, ada kisah lembaga hitam di bilik airlah. Hisshhh… kenapa aku ni?

Hmmm… baru aku teringat, aku nak tuliskan apa objektif aku sepanjang aku kat sini. Aku kan seorang siswa sekarang, bukan budak sekolah lagi. Tak sabar pula rasanya nak naik pentas untuk menerima ijazah, siap berjubah dan bertopi empat segi yang keras tu. Jadi, apa matlamat aku sepanjang aku di sini?

Jadi, pada hari pertama aku di universiti, bertemankan diari yang Abang Zakri hadiahkan ni, aku berikrar:

  1. Aku akan ulang kaji pelajaran setiap hari, sebelum tidur.
  2. Aku akan pastikan semua kerja yang diberikan oleh pensyarah disiapkan pada masa yang tepat.
  3. Aku mesti jaga kesihatan – banyak makan sayur dan kurangkan gula (yang ni aku baca dari majalah).
  4. Tidur mesti sekurang-kurangnya 7 jam sehari (macam baby pula).
  5. Jangan menghadiskan masa dengan membuat perkara-perkara yang tak berfaedah.
  6. . . .

Perlukah ada boyfriend?

Kawan aku, si Siti, cakap universiti ni tempat mencari jodoh. Ramai juga saudara-mara aku yang berkahwin dengan rakan satu universiti. Dia kata, kalau tak ada teman lelaki masa kat univerisiti, alamatnya, lambatlah berkahwin. Betul ke?

Haa… nanti aku tanya abang Zakri, minta pendapat dia. Tapi... dia mesti gelakkan aku! Malu la pula!

Tadi aku perasan jumlah pelajar lelaki tak sampai pun separuh bilangan pelajar perempuan. Persaingan ni! Jadi betullah cakap Siti pelajar lelaki di pusat pengajian tinggi dah semakin pupus.

Tapi mungkin juga bidang yang aku ambil – pengurusan teknologi, tak ramai pelajar lelaki yang berminat. Takkanlah pula… agaknya budak-budak lelaki ni malas belajar – kecuali abang Zakrilah kan.

Abang Zakri memang rajin dan bijak. Mak dan abah pun sayang sungguh dengan abang. Aku mesti tidak boleh kalah dengan abang. Malulah aku! Tidak mengapa, aku lihat sahaja nanti, siapakah yang paling cemerlang di dalam kelas. J

Aku kerling jam di meja – pukul sebelas malam. Suasana di luar kelihatan gelap pekat dan sunyi sepi. Tidak kedengaran walaupun decipan cengkerik. Bulu romaku meremang. Baik aku tidur, itu pun kalau aku dapat melelapkan mata. Bayangkanlah, daripada berpuluh-puluh ribu pemohon, aku berjaya terpilih sebagai salah seorang pelajar di universiti. Tak sepatutnya aku sia-siakan peluang ini. Esok minggu orientasi bermula… dan bermula juga kehidupan aku sebagai seorang siswa! Rasa macam tak percaya!

Dentuman guruh mengejutkan aku dari tidur.

Hujan turun dengan begitu lebat di luar, diiringi kilatan petir dan rauman guruh. Aku terkebil-kebil di dalam kesuraman. Namun di dalam keadaan suram itu, mataku dapat menangkap sesusuk kelibat di salah sebuah katil yang tadinya tidak bertuan. Tubuh itu nampak berbalam-balam, begitu kontras dengan sarung tilam yang putih warnanya.

Terpacak bulu romaku. Aku pejam mata rapat-rapat, dengan harapan lembaga itu tidak kelihatan lagi.

Aik... ada lagi? Susuk tubuh itu masih di situ.

Tidur... tidur... Aku pejamkan mataku semula.

Beberapa saat berlalu, terdengar bunyi ‘swish... swish...’.

Perlahan-lahan aku intai katil sebelah dengan sebelah mata. Alhamdullillah! Penghuni katil tadi telah tiada. Tapi… eh apa tu? Sesusuk tubuh hitam sedang berdiri di hujung katilku, kini sedang berjalan mundar-mandir di dalam bilik.

Aku pernah dengar cerita tentang seorang pelajar yang ada seorang teman sebilik yang tak pernah bercakap. Teman tu selalu senyum je... pendiam. Sampailah satu hari, barulah dia dapat tahu patutnya dia tak ada teman sebilik. Yang selama ini tinggal satu bilik dengan dia tu – bukan manusia!

Gentuman guruh menggegarkan cermin tingkap. Aku hilang nafas.

Aku cuba membaca ayat kursi dan beberapa ayat lain yang aku yakin dapat melindungiku dari gangguan makhluk halus tapi tubuh itu masih galak mundar-mandir. Kenapalah jadi macam ni pulak?

Aku tidak sanggup lagi mengadap lembaga yang mundar-mandir itu. Aku nekad. Perlahan-lahan aku beralih mengadap dinding. Jantungku berdegup kencang, kedengaran jelas di gegendang telinga.

Sebaik aku beralih, terasa jari-jemari tajam mencengkam lenganku.

“Aaaaaaaa…!!!” Aku terjerit sekuat hati dan menepis tangan kurus itu. Sebujur wajah yang putih, pucat tidak berdarah memerhatikan aku. Matanya membulat lebar dan bibirnya sedikit terbuka.

Aku terkaku sedangkan jantungku terasa bagai hendak terlucut dari tangkainya. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Inilah kali pertama aku berhadapan dengan situasi alam kedua ini.

“Awak, ada lilin tak?”

Ah! Tidak! Hantu lilin!

Tapi kenapa suaranya kedengaran setanding cemas, sepertiku? Tubuh itu turun naik, tercungap-cungap bernafas – sama sepertiku juga. Eh, ini bukan hantu.

“Lilin? Takde. Tapi kenapa nak lilin?” Seperti orang bodoh aku bertanya kembali. Patutnya aku melepas diriku dari genggamannya atau setidak-tidaknya bertanya siapa dia. Dia melepaskan lenganku lantas kembali duduk di birai katil yang bertentangan denganku.

Nasib baik dia tak duduk di atas katilku. Aku masih belum pasti siapa dia, dan bagaimana dia dapat masuk ke bilik aku. Aku yakin pintu bilik telah kukunci sebelum tidur tadi.

“Bekalan letrik terputus. Saya takut gelap!” Dia tertunduk sambil memeluk tubuh. “Oh, lupa pulak. Nama saya Suzana. Saya baru sampai pukul 12 tengah malam tadi. Kereta mama rosak.”

Gamaknya si Suzana nilah seorang teman sebilik aku. Tapi betulkah? Siapa pula yang akan sampai pukul 12 tengah malam? Maksudku, berjalan di tengah malam?

Romaku kembali berdiri. Aku pandang keliling, bersedia untuk melompat kiranya dia menerkam.

Guruh kembali berdentum dan hujan terus melebat. Tiba-tiba pintu bilik diketuk dari luar. Aku dan Suzana berpandangan sebentar sebelum pandangan kami terkunci di daun pintu. Ketukan itu semakin kuat, menggegar daun pintu, bagai berlawan dengan dentuman guruh. Apa lagi ni?

Tanpa dijangka, tombol pintu terpusing dan pintu bilik terkuak lebar. Terbayang sesusuk tubuh berselubung di ambang pintu. Selubungnya mengerbang dikuak angin.

Kali ini jantungku benar-benar terhenti. Nak menjerit pun aku tak mampu.

“Ambil lilin ni. Berkumpul di depan Bangunan A tepat pukul 5.30 pagi.”

Hah, ahli jawatankuasa orientasi rupanya! Sepantas dia datang, sesegera itu juga dia menghilang.

Aku ambil bungkusan berisi lilin dan mancis yang ditinggalkan di tepi pintu. Kunyalakan sebatang, cahaya keemasan daripada api lilin menerangi bilik. Sengaja aku dekatkan lilin itu ke arah Suzana supaya aku dapat perhatikan wajahnya, tidak lagi pucat dan menakutkan seperti tadi. Pipinya bulat, berkilat apabila dijilat cahaya lilin. Butir-butir peluh bermanik di hidungnya. Takut agaknya.

Tanpa sepatah kata, aku kembali merebahkan badanku ke tilam. Jantungku masih berdegup kencang, terdengar nyata di cuping telinga. Aku tak mungkin dapat menyambung tidurku kali ini. Siling yang putih kutatap lama. Kenapa semuanya mesti berwarna putih?

Aku cuba menyambung lena tapi ada sesuatu yang merentap-rentap warasku. Kupejamkan mataku rapat-rapat sambil berkelubung di bawah selimut. Namun benakku tidak menurut rayuan fikirku. Aku mengalah. Aku buka mata dan segaris cahaya di tingkap menyirap darahku.

“Suzana!!! Dah siang!!” aku terjerit. Jam meja setia menunjukkan waktu – 8.10 pagi. Suzana terkebil-kebil memandangku seolah-olah itulah kali pertama dia menatap wajahku. Pagi ini barulah aku dapat tatap wajah Suzana sepenuhnya. Dia tidaklah sekurus pandanganku malam tadi – wajahnya bulat, pipinya berisi. Tembam juga budak ni!

Dia bagaikan cuba mengingat kembali di mana dia dan siapa aku. Sejenak kemudian, dia bingkas duduk seraya menarik nafas deras. Matanya membulat. Riak panik mencoreng wajahnya.

“Cepat! Tukar baju!” dia separuh terjerit seraya bangun dan merentap beg plastik yang membungkus baju batik khusus untuk dipakai ketika sesi orientasi.

“Tak mandi dulu?”

“Tak sempat!”

Kami terkocoh-kocoh turun dari bilik yang terletak di tingkat dua bangunan empat tingkat itu. Kemudiannya kami terhendap-hendap, mencari mereka yang lain. Akhirnya kami nampak mereka sedang bersarapan di kafetaria. Perlahan-lahan kami melenyapkan diri di antara ratusan pelajar lain.

Ketika makan, aku dan Suzana tersenyum sesama sendiri. Biar kami sahaja yang tahu insiden pagi tadi. Aku mengunyah bihun goreng yang dihidangkan dengan penuh selera. Sedap pula bihun kawah nih!

“Diminta Nor Liliana Hamdan dan Suzana Omar tampil ke hadapan!” Seorang AJK Orientasi kelihatan sedang meninjau-ninjau di antara pelajar yang ramai itu. Pembesar suara kejap di genggamannya.

Aku hampir tersedak. Muka Suzana juga tampak gentar. Pengumuman itu diulang berberapa kali. Aku pasti mereka tetap akan dapat mengesan kami walaupun kami tidak “menyerah diri”. Aku bangun perlahan-lahan, diikuti oleh Suzana.

Saat ini, semua orang yang ada di kafetaria itu bagai menantikan satu pertunjukan hebat. Aku bertambah gentar.

“Tahu tak kenapa kamu berdua diminta ke hadapan?” AJK itu berwajah serius. Nama Azree terpapar di bajunya. Aku dan Suzana tidak berani hendak bersuara. Pelajar lain juga kelihatan cemas. Macamlah mereka turut sama terlibat!

Janganlah pandang.

Terus makan, sedap bihun tu!

Tapi mereka semua setia menatap wajah aku yang semakin panas. Kalau aku seorang selebriti, lainlah ceritanya. Mesti aku bangga, dapat publisiti murahan.

“Semua yang berada di sini, dengar! Liliana dan Suzana ini telah tidak hadir ketika solat Subuh dan ketika senaman ringan pagi tadi!” Azree memandang wajah-wajah kosong di hadapannya dengan wajah tegas.

Alamak, matilah aku. Macam mana mereka tahu?

Tapi kalau dah tahu, kenapa tak kejutkan kami? Ni kes aniaya!

Azree pandang tepat ke wajahku.

“Apa alasan kamu?!” Pembesar suara diunjuk hampir ke arah mukaku. Selebriti yang sedang ditemu ramah lantaran sebuah gosip panas. Fuiyooo...!

“Saya sedang bercakap dengan awak ni! Dengar tak?”

“Er..er.. malam tadi.. er.. er.. ada hantu!!” Serentak dengan pengakuan ikhlasku, seluruh kafetaria itu bagai digegar hilaian tawa semua penggunanya. Mata Suzana terbeliak memandang ke arahku. Pipiku semakin panas dan kini haba itu berdesing di telingaku.

Azree bagaikan kehilangan kata-kata sebentar. Wartawan yang terkejut dengan pengakuan berani seorang selebriti. Hehehehe...

Dia memberi isyarat kepada salah seorang AJK perempuan yang berdiri di sisi kafetaria. Aku lihat di tangannya terjinjit sebuah beg plastik berwarna hitam. Aku semakin cemas.

            Nak minta kami pungut sampah ke?

“Sebagai denda kelewatan kamu, kamu dikehendaki menjadi maskot Kolej Tun Teja sehinggalah ada rakan-rakan kamu yang lain yang mengambil alih tugas kamu. Jadi, selepas ini, sesiapa yang terlewat – untuk sebarang aktiviti – akan didenda menjadi maskot kolej!” Gelak tawa yang tadinya rancak serentak mati. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Takutlah tu!

Di upacara yang gilang-gemilang dan ditonton oleh ratusan pasang mata, aku dan Suzana menyarung pakaian berwarna kuning berbelang hitam. Zipnya di depan, merentas dari perut ke tekakku. Kusarung juga selembar topeng yang menutupi seluruh kepala dan wajahku.

Aku pandang Suzana, dia kini seekor lebah gergasi. Sayapnya tergedik-gedik menurut setiap gerak.

Dan aku tahu, aku juga begitu!

 

* * * * *

 

Selepas insiden kesiangan itu, aku dan Suzana begitu beringat agar peristiwa hitam itu tidak berulang lagi. Tugas kami diambil keesokan harinya oleh tiga orang pelajar lain yang mengalami nasib yang sama.

Walaupun orang lain mentertawakan mereka, aku dan Suzana tidak. Siksanya apabila menyarung pakaian itu, Tuhan sahaja yang tahu. Panasnya tidak terkira, tambah lagi kami tidak sempat mandi pagi. Terpaksa pula berpura-pura bergaduh dengan maskot-maskot dari kolej lain. Sabar sajalah.

Minggu orientasi dipenuhi aktiviti riadah, ceramah, solat berjemaah dan sesi lawatan ke kampus. Malam ini kami dibawa berjalan di trek hutan rekreasi berdekatan universiti. Aku mengenakan pakaian sukan lengkap. Begitu juga dengan Suzana, atau Suza, nama timangannya.

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan, diiringi oleh tiga orang AJK setiap kumpulan. Ahli kumpulanku tersenyum sumbing apabila diberitahu Azree “Rimau” akan mengiringi kami. Itulah, garang sangat, suka denda orang, suka tunjuk muka gerun – kan dah dianugerahkah gelaran Rimau.

Sebelum bermula, aku perhatikan keadaan sekeliling, gelap dan menakutkan. Suzana pun liar matanya, macam nak lari daripada musuh. Pokok-pokok yang meminggiri trek itu berdaun hitam pekat.

Kenapa mesti ada aktiviti sebegini, aku pun tak tahu. Nasib baiklah ini adalah malam terakhir orientasi.

Perjalanan dimulakan. Aku dan Suzana berpegangan tangan. Trek yang kami lalui agak lebar namun licin. Hujan pada petang tadi menyebabkan rimbunan pokok renek menyembah trek dan mengganggu perjalanan. Hanya bersuluhkan lampu picit, kami bagaikan pelarian dari seberang. Terkedek-kedek melarikan diri daripada pegawai penguasa.

Suzana tidak bersuara, begitu juga dengan ahli kumpulan yang lain. Tak tahulah sama ada masing-masing menumpukan perhatian ataupun diam sebab takut – macam aku.

Beberapa kali aku tersandung tumbuhan yang menjalar, dan Suzana menarik lenganku setiap kali aku tergoyah. Setelah enam puluh lima tahun (Perasaan aku saja. Masa sebenar aku tak tahu sebab aku terlupa pakai jam), aku bersusah payah dan tercungap-cungap meredah belantara, aku nampak lampu jalan yang memancarkan warna kekuningan di sebalik celahan pokok. Ya... aku telah sampai ke seberang. Aku akan bebas!

Aku genggam tanga Suzana yang bulat itu kuat-kuat.

Langkahku terasa semakin laju.

Akhirnya! Kami sampai juga di penghujung!

Aku hampir bersorak riang. Kutarik-tarik tangan Suzana, sekadar berkongsi kegumbiraan aku.

“Lili!” Suara Suzana kasar menerjah pendengaran. Aku nampak dia menapak ke arahku. Dan dahinya berkerut semakin dia mendekati aku.

Dia berhenti kira-kira tiga langkah dariku. Makin berkerut wajahnya.

“Eh, macam mana kau boleh ada kat depan?” Aku bersuara di dalam keliru.

Siapa yang aku pegang ni?

Azree Rimau!!! Arrrrrrrrggghhhhh…..!!!!!!!!

Di luar sedar aku terjerit. Aku terdengar tawa kecil sayup-sayup mengetuk gegendang telingaku namun pandanganku kekal di wajah Azree. Wajah itu tetap selamba, tetap tidak beremosi. Aku cepat-cepat menarik Suzana, menjauhi si rimau. Pipi aku panas menahan malu.

“Kenapa kau tinggalkan aku?” Aku separuh berbisik.

“Gelap sangat. Aku pun tak tahu siapa yang aku pegang tadi! Nasib baik tak ada sesiapa yang nampak.” Suara Suzana kedengaran cemas. Macamlah dia di tempat aku!

“Liliana! Suzana! Nak ke mana tu?”

Alamak, suara Azree Rimau mematikan langkahku. Nak kena denda lagi ke?

Kami berpatah balik.

“Tahulah ini malam terakhir, tapi sebelum balik, kita kena pastikan semua orang dah ada di sini. Itu kerja berkumpulan namanya.” Azree memandang kami berdua silih berganti. Aku sedaya mungkin tidak mahu memandang wajahnya. “Kalau ada yang nak jatuh, kenalah tolong. Takkan nak biarkan tersungkur.”

Tanpa menunggu sebarang jawapan, dia meninggalkan kami.


Posted at 05:56 pm by hatikasih
Make a comment  

DUA

DUA

 

Aku terbangun keesokan harinya tepat jam 6.00 pagi. Tersirap darahku tatkala menatap jam di meja. Aku tak mahu jadi maskot lagi. Aku tengok si Suzana masih nyenyak di katil, berbungkus selimut. Aku amati suasana di luar – senyap sunyi. Tiada suara AJK Orientasi terjerit-jerit seperti selalu. Tiada juga laungan hailer yang bingit.

Apa yang tak kena?

Bahuku terasa berdenyut-denyut bagai telah melakukan suatu tugas fizikal yang berat. Lantas aku teringat – orientasi telah berakhir malam tadi. Hoooorayyyy …!!!

Aku menyambung tidur sehinggalah pintu bilik dibuka dan cahaya matahari menyucuk wajahku. Aku membuka mata dengan penuh paksaan. Rasa nak marah pun ada! Siapa pula yang ganggu aku pada hari pertama aku dapat bangun lambat – selepas seminggu berpenat lelah di medan juang.

Aku nampak seorang gadis yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Dia sedang menyusun pakaian di almari baju yang ketiga. Dia membelakangi aku, tapi aku dapat lihat yang orangnya tinggi langsing. Rambutnya lurus melewati belakangnya.

Siapa dia ni? Kawan sebilik aku yang sorang  lagi tu agaknya... Macam mana dia boleh escape orientasi pula ni?

Aku perlahan-lahan duduk sambil terus memerhatikan “pendatang” baru tersebut. Banyak juga baju yang dia bawa. Semuanya tampak cantik dan mahal. Sepasang demi sepasang digantung di dalam almari. Selesai tugasnya, dia berpaling. Pandangan kami berlaga. Sejenak wajahnya membatu. Comel juga.

Mungkin melihatkan aku yang masih terkebil-kebil, dia kemudiannya bersuara, “Hi, saya Amy. Maaflah, buat awak terbangun pulak.”

Dia menghulurkan kedua-dua belah tangannya. Aku sambut huluran tersebut. “Lili.”

Dia terus mengeluarkan beberapa barang lain dari begnya yang besar itu. Banyak juga barang dia. Almari dua pintu yang disediakan telah hampir penuh nampaknya.

“Err... awak baru sampai ke?”

“Ha’ah.” Tangannya terus rancak mengatur bedak, gincu bibir dan beberapa alat solek lain di dalam laci.

“Tak daftar masa orientasi tu?” Aku bertanya lagi, semakin galak ingin mengetahui.

Tangan Amy terhenti, dia pandang aku sambil tersenyum meleret. “Mama saja yang datang untuk pendaftaran. Saya ambil mc seminggu.”

Dia kemudian tertawa kecil sebelum menyambung, “Saya tak nak datang untuk orientasi tu. Tak nak  kena buli!!”

Aku terdiam, antara rasa tidak enak dan rasa kagum. Kenapa aku tak terfikir sampai ke situ? Kalau tak, tak payahlah aku penat-penatkan badan dengan aktiviti orientasi. Aku pun boleh beli sijil sakit!

“Awak ambil course apa?” suara Amy menyentak akalku.

“Pengurusan teknologi. Suzana tu, course teknologi maklumat.” Aku memuncungkan bibir ke arah Suzana yang masih kaku di bawah selimut.

“Eh, saya pun ambil pengurusan teknologi. Senanglah kalau gitu.”

“Oh, ye ke...” Aku tak pasti apa perasaan aku sebenarnya.

Oleh kerana tidak tahu apa lagi yang hendak dibualkan dengan Amy, aku angkat kaki, capai tuala dan baldi lantas menapak ke bilik air. Di bilik air, aku bertembung pula dengan beberapa orang senior yang baru balik dari bercuti. Mereka sekadar tersenyum sumbing apabila terpandangkan aku walaupun rasanya aku dah tersenyum sampai ke telinga.

Selesai mandi, aku kembali ke bilik. Aku lihat Suzana telah terjaga dari tidurnya dan sedang duduk di katil. Sekeping majalah berada di tangannya. Haik, tak mandi dulu ke?

Amy masih sibuk menyusun barang-barang kecil di atas meja tulis.

Apa aku nak buat hari ni? Hari ni hari Ahad, besok baru mula semester. Nak balik rumah pun, mama dan papa tak ada. Ada kenduri kahwin di rumah kawan papa di Melaka. “Suza, kau nak buat apa hari ni?”

“Aku ingat nak cari barang sikit.”

“Aku nak ikut.”

“Jom!”

“Amy nak ikut?” Aku sengaja bersuara. Suzana menjeling tajam ke arah aku. Wajahnya mencuka.

“Taklah, kejap lagi aku nak keluar,” balas Amy tanpa memandang ke arahku. Suzana mencebik sambil mengangkat bahu. Aku tahu, Suzana mesti tak selesa dengan Amy. Aku pun terasa kekok juga dengan minah sorang tu. Macam mana nak duduk sebilik dengan dia eh?

 

Amy pulang kala malam begitu matang. Beberapa beg plastik terjinjing di tangannya. Suzana pura-pura tidak peduli tapi aku tahu dia sama saja seperti aku – nak tahu ke mana Amy pergi dan apa yang dibelinya. Dari tadi aku nampak dia beberapa kali mengerling ke arah Amy.

“Kau pergi mana Amy?”

Shopping,” jawab Amy tanpa memandang wajahku. Sebuah beg kertas dicapainya. Wajahnya segera berubah, ceria. Sehelai baju merah ditarik keluar.

“Lawa tak?” tanya Amy sambil melekapkan baju tersebut ke tubuhnya. Senyumnya meleret.

“Hmmm lawa. Boleh tengok?”

Amy menghulurkan baju tersebut ke arahku tanpa banyak soal. Dia kembali menyelongkar beg yang lain. Kuperhatikan baju baru Amy, nampak macam tak muat je, kecil benar rasanya. Macam baju budak-budak pun ada. Amy taklah sekurus tu.

Aku curi pandang tanda harga yang masih melekat pada label baju. Wah! Mahalnya!

“Hmmm... kelas dah mula esok ke?” Amy bertanya. Senyum tidak lagi bertamu di bibirnya.

“Ha’ah.”

“Dah dapat jadual kuliah?” Amy bertanya lagi.

“Dah. Diaorang distribute masa orientasi hari tu.”

Amy melepaskan sehambur nafas panjang. “Kat mana nak ambil jadual tu ye?”

Aku pun tak tahu sebenarnya. Jadual tersebut diedarkan oleh AJK Orientasi pada hari ketiga orientasi, sebelum kami ditunjukkan kampus akademik. “Saya pun tak tahu. Mungkin awak boleh tanya pejabat.”

“Pejabat mana?”

Itulah, siapa suruh ponteng orientasi. Sekarangkan dah susah, aku berdesis di dalam hati. Rasa macam tak nak tolong jer, fikiran jahat aku terus merasuk. Tapi... tak baik pula. Aku masih punya perikemanusiaan.

Amy masih menanti jawapanku.

“Macam ni sajalah, esok kau ikut aku jer.”

Amy kembali tersenyum. Dia kemudiannya menyelongkar sebuah lagi beg plastik. Sekeping besar coklat dikeluarkan. Dia buka bungkusan coklat tersebut lalu diunjuk ke arahku. “Nah, coklat.”

Rasa coklat yang pahit manis memenuhi mulutku. Sedapnya.

Amy kemudian hulurkan bungkusan yang sama ke arah Suzana. Mula-mula Suzana kelihatan seperti ingin menolak tapi akhirnya diambil juga coklat tersebut. Terpejam-pejam mata Suzana semasa coklat tersebut mencair di dalam mulutnya.

“Kelas Suzana esok juga ke?” Amy bertanya.

“Ha’ah.” Suzana kembali menatap majalah di tangannya.

Suzana terang-terangan tersentak apabila Amy menyambung kata, “Kita pergi sama-samalah esok.”

* * * * *

 

Aku dan Suzana sekadar memerhatikan Amy. Lama betul dia bersiap. Selapis demi selapis mukanya disapu dengan pelbagai jenis bahan kimia yang bernama kosmetik. Akhir sekali satu semburan wangian yang kian lali pada hidungku singgah di kedua-dua penggelengan tangannya.

Baunya semerbak memenuhi ruang.Suzana terbersin.

“Jom!” Akhirnya Amy bersuara. Senyum merekah di bibirnya yang merah.

Kampus akademik hanya kira-kira lima belas minit perjalanan daripada kampus kediaman. Sepanjang perjalanan yang singkat itu aku perasan Amy telah mencuri pandangan ramai orang. Apa lagi siswa-siswa lelaki yang turut bergegas ke kuliah.

Masakan tidak – dengan wajah bersolek rapi, baju hijau melekap dan skirt hitam melepasi lutut. Apalah nak dibandingkan dengan aku dan Suzana yang cuma berbaju kurung dan bertudung. Rasa macam dayang-dayang yang mengiring tuan puterilah pulak!

Mula-mula kami temankan Amy ke pejabat pentadbiran fakulti. Hairan juga, Amy beria-ia tidak benarkan kami mengikutnya hingga ke dalam pejabat. Aku dah Suzana cuma pandang-memandang di luar. Beberapa minit kemudian Amy kembali dengan jadual kuliahnya.

“Jom. Dah dapat jadual. Kelas pertama lima belas minit lagi,” ujar Amy.

“Eh, sama kelas dengan aku tak? Boleh aku tengok jadual kau...?”

Air muka Amy sedikit berkocak. Dia cepat-cepat menarik slip putih yang memaparkan jadual kuliahnya jauh-jauh dari capaianku – jauh dari pandanganku. Kenapa dengan budak ni?

“Err... kelas Statistik, kumpulan D,” Amy memberitahu sambil menilik slip tersebut.

“Ooo.. kalau macam tu, tak samalah kelas kita. Kat mana kelas kau?” Aku bertanya lagi.

Sekali lagi Amy menilik slip jadualnya. “Dewan kuliah 3B. Err... di mana tu?”

“Kalau tak silap aku bangunan sebelah sana tu.” Aku menuding. Aku sendiri kurang pasti – ingat-ingat lupa tentang letak bangunan-bangunan kampus. Kampus akademik begitu besar dan luas pada pandanganku. Rasanya boleh sesat kalau tak biasa. Nasib baik kami telah ditunjukkan kawasan tersebut semasa orientasi. Ada baiknya juga orientasi ni.

“Kalau macam tu, aku pergi dululah. Bye!

Bye! Jangan sesat tau!” Aku sempat berpesan sebelum Amy melenggang pergi.

“Aku heranlah tengok si Amy tu,” komen Suzana menyuarakan perkara yang turut berlegar di fikiranku.

“Hmmm... nanti kita tahulah. Eh, aku pergi dululah. Tengah hari nanti, kita jumpa di foodcourt?”

Suzana mengangguk lalu kami berpecah arah.

 

* * * * *

 

Aku pilih tempat duduk di barisan ketiga, jauh di hujung sebelah kanan dewan kuliah. Kebanyakan wajah yang hadir aku kenal ketika sesi orientasi. Seorang dua ramah menegurku. Ada yang nampak takut-takut dan tidak pasti.

Tidak lama kemudian seorang wanita di usia lewat 30an melangkah masuk ke dewan kuliah. Keadaan yang hingar menjadi reda apabila wanita itu mengambil tempat di meja pensyarah.

“Assalamualaikum. Saya – Dr. Rosmina. Kamu boleh panggil saya dengan nama Dr. Ros. Saya akan mengendalikan kuliah Pengantar Statistik. Saya harap kamu semua telah bersedia untuk hadapi kuliah pertama ini. Saya akan edarkan rangka kursus untuk panduan kamu. Rangka kursus ini mengandungi pelan kuliah, topik-topik yang akan disentuh sepanjang semester, kerja kursus, bahan-bahan rujukan dan maklumat berkenaan pensyarah.” Wanita itu bersuara sambil mengedarkan kertas-kertas putih berisi maklumat penting berkaitan kursus yang aku ambil.

Wah... banyaknya topik! Sebelas topik untuk dipelajari dalam satu semester? Sempatkah? Walau apa pun, aku mesti bersemangat. Aku mesti lakukan yang terbaik. Aku seorang siswa!!

Dr. Ros mula menulis di atas papan putih. Pantas pen berdakwat biru menari-nari. Sepantas itu juga bibir Dr. Ros menghamburkan syarahan. Aku terkial-kial menyalin.

“Jadi, apa jawapannya?” soal Dr. Ros.

Jawapan apanya? Aku belum pun sempat menyalin soalan.

“Kamu, yang pakai baju hijau. Apa penyelesaian kepada soalan ini?” Dr Ros pandang tepat ke arah seorang pelajar lelaki berkemeja hijau.

Erk...! Matilah kalau Dr. Ros panggil aku. Aku tak berani angkat muka, tekun merenung tulisanku yang comot. Kalau boleh, aku nak bersembunyi di bawah meja!

Sepanjang kuliah, aku tak senang duduk. Kalut mengelak pandangan Dr. Ros dan kalut menyalin nota. Mataku kembali cerah apabila Dr. Ros melangkah keluar dari dewan diikuti dengan pantas oleh pelajar-pelajar lain. Terasa lega yang amat.

Kelas kedua lain pula. Pensyarah bernama Encik Rashid. Lembar demi lembar nota ditayang di overhead projector. Encik Rashid berterusan berkuliah tanpa emosi. Laju. Kalau dulu, perumpamaannya laju macam keretapi. Agaknya sekarang perumpamaan laju macam jalur lebar lebih tepat. Alunan suaranya timbul-tenggelam, mendodoi akal dan mataku semakin layu.

Tiba-tiba kelas bertukar suasana. Oh, dah habis waktu rupanya!

Aku mesti jumpa Suzana.

 

Di medan selera, Suzana telah sedia menungguku di meja, bertemankan segelas air. Mukanya dibayangi keletihan. Baru sekerat hari dah penat?

“Hai Suza! Penat nampak.”

“Bukan penat – tapi kelirulah,” balas Suzana. Bibirnya tercebik-cebik.

“Keliru kenapa pula?”

“Entahlah. Aku tak tahulah... aku rasa susah sangat. Pensyarah aku tu, laju benar. Macam keretapi! Aku baru terkial-kial nak buka buku, dia dah mula mengajar. Aku baru nak cari soalan, dia dah minta jawapan. Aku tak bersedialah!”

“Ingatkan aku sorang saja yang rasa macam tu! Rupanya kau pun sama...”

Kami bertopang dagu di meja. Termangu dan keliru.


Posted at 05:57 pm by hatikasih
Make a comment